Gaya Hidup Organik: Gaya Hidup Organik Menyelamatkan Dunia

Tahukah anda bahawa apabila kita mengamalkan Gaya Hidup Organik, anda sebenarnya sedang menyelamatkan dunia untuk generasi akan datang? Tidakkah anda terfikir, apabila anda mengamalkan gaya hidup organik anda telah menyelamatkan ekosistem, hidupan liar, lapisan ozon dan sistem pengairan yang mana boleh menyebabkan kestabilan persekitaran dunia runtuh akibat perbuatan manusia? Bunyinya sangat hebat tetapi ia semua bermula dari diri kita sendiri.

Ladang dan kaedah penanaman organik merupakan kaedah paling selamat untuk mengelakkan tanah dari menjadi tandus. Tanah yang sentiasa disirami baja kimia dan racun perosak lambat laun tidak akan mempunyai khasiat di masa akan datang. Wasap dari semburan racun akan meruap ke atmosfera dan akan menipiskan lapisan ozon. Wasap ini juga akan berterbangan di tiup angin dan akan mengakibatkan hidupan liar seperti serangga, unggas, lebah, beruang, harimau dan lain-lain haiwan lari dari habitat semulajadi mereka. Apabila bumi semakin tandus dan tanah semakin banyak yang tidak boleh digunakan untuk pertanian, kehidupan akan menjadi semakin sukar. Apabila kehidupan semakin sukar, ia akan memberi kesan secara langsung kepada kita yang hidup di bumi.


Lebihan dan kumbahan baja kimia yang mengalir dari ladang akan masuk ke sistem saliran dan sungai akan tercemar. Ikan, ketam dan karang-karangan di muara sungai akan tercemar dan ini secara langsung akan melibatkan kesihatan kita sebagai pengkonsum hidupan ini sebagai hidangan di atas meja. Dengan memilih gaya hidup organik, kita akan sedikit-demi sedikit mengurangkan penggunaan hasil produk komersil ini dan akan menjana arus permintaan terhadap produk organik.


Dengan mengamalkan gaya hidup organik, kita akan mempunyai kesedaran yang lebih tinggi terhadap produk yang digunakan di dalam rumah kita. Sebagai contoh, kita akan menggunakan produk yang 'biodegradable' (barangan yang boleh terurai secara semulajadi) bagi memastikan air kumbahan yang dialirkan keluar rumah tidak membahayakan kepada alam sekitar. Dengan menggunakan produk bio ini untuk penjagaan diri, kita akan berasa sangat tenteram dengan produk yang digunakan. Ia selamat untuk sebarang peringkat umur dan ia akan mencantikkan kulit, menyihatkan dan aromaterapi semulajadi menjadikan diri segar sepanjang hari.